Rabu, 30 Mei 2012

Nikah mut'ah haram

KUALA LUMPUR 14 Julai - Nikah mut'ah (mutaah) adalah haram di sisi Islam dan juga undang- undang di negara ini, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pengurusan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zawiah Hassan.

Beliau berkata, penjelasan mengenai pernikahan itu sering dilakukan oleh Jakim kepada orang ramai dari semasa ke semasa.

''Penerangan itu dibuat melalui ceramah dan juga siaran radio. Namun, sehingga kini belum ada aduan mengenai pernikahan tersebut di negara ini," katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas laporan khas Utusan Malaysia semalam mengenai perangkap cinta lelaki Arab yang bijak memikat wanita tempatan tetapi selalunya ditinggalkan apabila mereka pulang ke negara masing- masing.

Selain itu, kehadiran lelaki Arab dalam hidup wanita tempatan menyebabkan ramai antara mereka berkahwin secara mutaah.

Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut berkata, Islam mengharamkan nikah mutaah kerana bertentangan dengan matlamat dan objektif perkahwinan.

Katanya, hikmah perkahwinan adalah untuk suami, isteri serta keluarga sehingga akhir hayat dengan suasana yang harmoni bukannya dalam tempoh tertentu.

Jelasnya, Nabi bersabda yang bermaksud: ''Berkahwin dan bernikah oleh kamu akan perempuan dan jangan kamu menceraikannya kerana sesungguhnya Allah SWT sama sekali tidak mahu dan tidak gemar lelaki (suami) dan perempuan (isteri) yang hanya berkahwin semata-mata kerana ingin melepaskan hawa nafsu dan kerana semata-mata bersedap-sedapan sahaja.''

Katanya, larangan terhadap nikah mutaah juga disebut dengan jelas dalam sabda Nabi yang bermaksud: ''Dan bahawa sesungguhnya Allah SWT mengharamkannya yakni nikah mutaah hingga hari kiamat.''

Sehubungan itu, beliau mengingatkan umat Islam di negara ini supaya bernikah mengikut hukum Islam dan undang-undang yang telah ditetapkan.

''Jangan mengikut budaya yang tidak sihat dan bertentangan dengan hukum Islam,'' katanya.
Ulasan: Mut'ah kini adalah zina. Kini ramai pelajar Syiah dari Iran dan lain-lain di IPT kita yang mungkin mengamalkan nikah versi ini. Kepada pelajar kita: Jangan terleka dengan ketampanan atau kecantikan mereka lantas berkahwin mut'ah ikut cara mereka. Kepada para pentadbir IPT, sesuatu yang konkrit perlulah dllaksanakan.

Rabu, 7 Mac 2012

kartun pendidikan






"manusia"


 

“MANUSIA”

Manusia,
Insan tercipta sempurna kerana akalnya,
Menjadi khalifah di muka bumi,
Jika erti tanggungjawab sebenar difahami dan dilunasi,
Tiada leka dibuai fatarmorgana duniawi.

Manusia,
Adakah kita benar-benar pasti dan yakin,
Kita mahluk sempurna,
Seperti yang kita sering fikirkan,
Tidakkah tanggapan kita adakalanya salah?
Khilaf dan terpesong?
Insan kamil siapa?
Kita atau mereka?
Dialah manusia yang berada pada landasan lurus,
Cerah pemikiran dan berhati insan,
Kerana sesungguhnya di dalam manusia,
Adanya insan dan kebuasan.

Manusia,
Lahirnya dari yang satu,
Tersebar ke serata alam maya,
Budaya,agama,bahasa berbeza,
Namun kita tetap sama,
Hadirnya daripada yang satu,
Kita sama walaupun berbeza,
Aku tetap aku,
Dia tetap dia,
Tetapi kita tetap sama dan serupa,
Yang beza adalah amalan semata-mata.

Nukilan : rkz 29/10/2011 14.50

"malam yang suram"


“Malam yang suram”



Tatkala malam menyinsing,
Bermula onak duri kehidupan,
Yang dahsyat berbanding kala cerah fajar,
Kerana dalam kegelapan tiada nampak perilaku,
Yang ngeri dan menjijikan mata melihat,
Dilakukan oleh manusiawi ini.

Malam menjadi suram,
Pabila manusia lupa, alpa dan leka,
Dibuai ayunan syahdu malam yang menggoda,
Hati, jiwa dan sanubari insan,
Yang iman tiada di hati,
Mengejar fatarmorgana duniawi.

Malam sebenarnya tiada apa,
Hanya perilaku manusia yang jahil,
Menjadikan malam kian durjana,
Dengan perilaku yang mengerikan,
Tatkala saat itu insan dibuai lena,
Mencari ketenangan jiwa,
Pada yang setia pada Nya.

Malam akan terus berlalu,
Mengikut paksi dan jadual yang tersusun,
Bersilih ganti dengan fajar yang akan menyinsing,
Taat dan setia,
Membuka lembaran permulaan kehidupan manusia,
Mengejar mercu tanda kejayaan hidup di dunia.

Jangan biarkan malam kekal leka dan ternoda,
Oleh desakan nafsu yang terdesak,
Oleh gelora jiwa yang tiada terkawal,
Jadikanlah malam penyeri seri mewangi insan,
Saat untuk sujud pada Nya,
Mencari ketenangan jiwa raga yang hilang,
Tatkala dinoda fatarmorgana di kala siang.

Nukilan : rkz 30/10/2011 3.26am


"kerinduan hati dalam perjuangan"


“ kerinduan hati dalam perjuangan ”

Kucupan sayang dari ibu tercinta,
Nasihat ayah yang ikhlas,
Senda gurau tawa,
Tangis tawa syahdu saudara darahku,
Menjadi rindu kalbu yang membungkam jiwa...

Tiada tertahan lagi hati ini rasanya,
Teringat akan desa permai yang jauh di mata,
Kicauan burung dan desiran pantai,
Yang bergelora,
Menyapa hati kala duka dan sepi,
Menjadikan hati semakin pilu dan rindu...

Kutitip salam kerinduan di angin lalu,
Menyampaikan rindu pada yang tercinta,
Agar perpisahan ini akan berakhir,
Dengan titisan air mata gembira mencurah jatuh kebumi,
Dengan hasil yang baik dan gembira,
Ku bawa pulang bersama,
Bersama hadiah membalut kerinduan,
Ayah dan ibu serta saudaraku tersayang,
di kampung,
Yang sabar menunggu dan ikhlas,
Menanti kepulangan yang berhasil,
Agar kerinduan yang wujud tidak sia-sia,
Terbayar dengan berita kegembiraan yang indah,
Membaluti segala duka nestapa...

Nukilan : rkz 2/8/2011


"Bajuku"


“ Bajuku ”
Di almari itu tersusun rapi,
Bajuku yang tersergam indah,
Pelbagai corak pelbagai warna,
Setia menanti aku dan bersedia,
Memberi khidmat tanpa jemu...

Ku kenakan ia setiap hati,
Agar diriku kelihatan indah dan ceria,
Kesan dari terbit sinaran indah dari bajuku,
Yang membawa kelainan pada diri ini,
Tidak seperti hari-hari yang lain...

Baju itu dan baju ini,
Walaupun berbeza, masih berfungsi,
Memberi bakti kepada diriku,
Agar sentiasa kemas selalu,
Supaya mampu berdiri megah sederet mereka,
Yang juga mengenakan baju indah mereka,
Untuk berdiri tegak dan segak,
Agar amanah terlaksana dengan kemas...

Nukilan : rkz 12/12/2011

PENDAPAT MENGENAI MITOS MELAYU MALAS


1.0  )Pendahuluan
Tugasan yang dilakukan oleh saya ini akan membincangkan berkenaan pandangan negatif sarjana Barat terhadap masyarakat Melayu, yang mana dalam tugasan ini menfokuskan pandangan sarjana Barat serta masyarakat Barat yang menyatakan bahawa bangsa Melayu adalah bangsa yang malas. Tugasan ini membincangkan pandangan sarjana, penulis , resident dan orang eropah yang pernah berada dan menetap di tanah Melayu pada zaman permulaan berlakunya penjajahan portugis sehingga tamatnya era penjajahan British yang diakhiri dengan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Antara sarjana atau penulis buku eropah yang akan di bincangkan pandangan mereka ialah Isabella Bird yang mengarang buku bertajuk “ The Golden chersonese and the way thither” dan Emile Innes, isteri kepada seorang residen di Tanah Melayu yang mengarang buku yang bertajuk  “ The chersonese with the glidding off” yang diterbitkan pada tahun 1883[1]. Namun, bukan mereka berdua sahaja yang memberikan pendapat bahawa Melayu ini malas, malahan terdapat juga individu lain yang turut sama berpendapat sedemikian. Bukan itu sahaja, tugasan ini juga akan membincangkan pandangan yang berbeza bagi menyangkal pandangan sarjana dan penulis barat. Tokoh yang akan di kaji pandangannya bagi menyangkal pandangan sarjana dan penulis barat ialah Prof Syed Hussein Al Attas dan beberapa lagi pendapat daripada beberapa individu yang tidak bersetuju dengan pandangan Barat yang mengatakan Melayu itu adalah bangsa yang malas.
2.0  )Objektif
Objektif penulisan yang dilakukan oleh saya adalah bertujuan untuk meninjau pendapat atau pandangan Barat terhadap orang Melayu. Selain itu saya juga akan membuat analisis akan sebab dan mengapa Barat berpandangan sedemikian iaitu memandang orang Melayu ini adalah masyarakat yang malas. Seterusnya, dalam penulisan ini juga beberapa pendapat dan pandangan daripada sarjana lain yang tidak bersetuju dengan istilah Melayu malas ini juga akan turut diketengahkan dan dinyatakan dalam penulisan ini. Hal ini bertujuan untuk memperlihatkan perbezaan pendapat yang wujud di antara sarjana-sarjana dan pengkaji yang ada mengenai alam Melayu dan masyarakatnya. Hal ini secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada saya untuk merumuskan pendapat sendiri serta memberi pandangan tersendiri mengenai masyarakat Melayu ini. Diakhir penulisan ini, satu kesimpulan dan pendapat akhir akan dibuat sama ada saya bersetuju dengan sesetengah sarjana Barat yang mengatakan orang Melayu ini malas atau sebaliknya iaitu tidak bersetuju langsung dengan kenyataan mereka.
3.0) Fokus perbincangan
Penulisan ini akan berfokus kepada beberapa individu dan sarjana Barat yang mengatakan orang Melayu ini adalah bangsa yang malas melalui penulisan mereka. Huraian yang lengkap tentang apa yang diutarakan oleh mereka akan dipersembahkan secara jelas dalam penulisan ini. Selain itu, penulisan daripada beberapa sarjana yang tidak bersetuju dengan pendapat bahawa orang Melayu adalah bangsa yang malas turut dipersembahkan dalam penulisan ini dan akhirnya kesimpulan akan dibuat berdasarkan kedua-dua pendapat tersebut yang mempunyai pertentangan yang amat ketara disamping hujah-hujah dan pendapat yang diutarakan oleh mereka untuk mengukuhkan pendirian mereka. Penilaian dibuat berdasarkan hujah dan contoh di dalam penulisan yang dilakukan oleh para sarjana ini.

4.0) Pandangan stereotaip orang barat terhadap Melayu yang mengatakan Melayu adalah bangsa yang malas.
 Terdapat ramai orientalis Barat yang mengatakan bahawa masyarakat Melayu ini malas dalam penulisan mereka. Antaranya ialah Isabella Bird, Emiley Innes, Frank Swettenham, Clifford, Tom Pires, John Francis Gamelli Careri, De Vellez Guirerro, dan Sir Stamford Raffles. Kesemua mereka ini mengkritik orang Melayu dengan mengatakan bahawa bangsa Melayu adalah bangsa yang malas dan kurang berilmu serta bodoh. Dalam penulisan seterusnya akan dinyatakan apa yang telah diutarakan oleh sarjana atau orientalis Barat ini.
4.1) Pandangan Issabella Bird
Isabella Bird menganggap bahawa orang Melayu pemalas dan tidak bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan . Hal ini kerana beliau melihat orang Melayu yang ketika itu menanam padi sawah sebagai sumber rezeki , mengerjakan sawah secara sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh. Kebanyakkan orang Melayu dikatakan lebih suka bersantai dan menghabiskan masa berbual dengan rakan-rakan di kedai kopi daripada berusaha bersungguh-sungguh untuk memajukan diri dan keluarga.
Selain itu, Isabella juga mengatakan bahawa aktiviti penanaman padi dilakukan secara kasar dan tidak teliti oleh orang Melayu kerana mereka membajak sawah dengan menggunakan tenggala yang berupa tiang atau galah yang panjangnya lapan kaki dengan pencakar menjulur keluar daripada pisau tenggala atau bajak dan batang kayu yang diselit secara serong diatas kerbau. Perihal orang Melayu malas ini turut diakui oleh Ibrahim Munsyi dalam tulisannya , tetapi Ibrahim menyatakan bahawa bukan semua orang Melayu itu pemalas dan perihal seperti ini memang biasa dan juga sering berlaku dalam setiap bangsa yang wujud di dunia di mana tidak semua manusia adalah sempurna dan rajin. Ini kerana setiap individu yang ada adalah berbeza diantara satu sama lain.
Seterusnya, Issabella juga melihat orang Melayu sebagai golongan yang sukakan hiburan, di dalam penulisannya, beliau mengatakan bahawa orang Melayu mereka gemar berkumpul beramai-ramai untuk melihat acara-acara hiburan seperti sabung ayam yang begitu mendapat tempat dihati orang Melayu ketika itu. Bahkan , apabila ada waktu-waktu tertentu , orang Melayu dikatakan akan melagakan kerbau atau harimau juga untuk tujuan berhibur. Beliau menambah lagi, aktiviti tersebut di lakukan bukan sahaja diperingkat orang bawahan, tetapi juga oleh pihak atasan dan aristokrat. Hal ini kerana, beliau mengatakan bahawa pemimpin Melayu juga tidak ketinggalan terlibat dalam aktiviti tersebut seperti melaga ayam dan binatang untuk tujuan perjudian dan keseronokan.
Orang Melayu menrurut pandangan Isabella sebagai masyarakat yang suka berteka teki sesama mereka untuk bersuka-suka. Mereka juga gemar bermain “dam” di kedai-kedai kopi bersama rakan-rakan dari pagi sehingga  ke lewat petang. Orang Melayu juga dikatakan suka berhibur kerana mempunyai banyak jenis tarian seperti Kuda Kepang, Makyong, Ulik Mayang dan sebagainya yang mana tarian-tarian ini ditarikan dalam majlis-majlis keraian. Isabella Bird juga mempunyai persepsi yang tersendiri terhadap salah satu lagi kegemaran orang Melayu iaitu adat memakan sirih. Beliau beranggapan bahawa orang yang memakan sirih adalah seorang yang pengotor.
 Hal ini kerana beliau menganggap orang yang memakan sirih seperti mereka mengeluarkan darah dari mulut mereka sendiri. Sirih yang akan menyebabkan gigi seseorang kelihatan berkarat telah dilihat sebagai sesuatu yang amat menggelikan dan kotor oleh Issabella. Hal ini telah di sokong oleh Ibrahim Munsyi yang ketika itu telah melawat bandar Klang. Beliau telah melihat pejabat yang menyimpan surat cukai timah tersebut tidak teratur kedudukannya dan kotor keadaannya di sebabkan penuh dengan ludahan sirih.
Bukan setakat itu sahaja, Isabella juga menyatakan bahawa aktiviti Orang Melayu yang bersawah dan membajak sawah yang penuh lumpur dengan menggunakan kerbau dan aktiviti melaga binatang juga dilihat sebagai suatu sifat yang menjijikkan dan tidak berperikemanusiaan.



4.2  ) Pandangan Emiley Innes
Emily Innes pula dalam pemerhatianya menganggap lelaki Melayu sebagai pemalas. Ini kerana beliau melihat wanita Melayu ketika itu berkerja lebih kuat berbanding dengan kaum lelaki. Hal ini jelas dinyatakan dalam penulisannya iaitu wanita Melayu melakukan kerja-kerja berat seperti berkebun dan bersawah dibandingkan dengan orang lelaki yang lebih gemar duduk bersembang di kedai kopi dari pagi hingga ke petang dan pulang ke rumah lewat malam.
Emily turut menyatakan di dalam penulisannya iaitu, apabila wanita-wanita yang bekerja di sawah dan berkebun ini pulang ke rumah, mereka meneruskan kerja-kerja di rumah seperti memasak dan menganyam bahan-bahan untuk dibuat ‘sarong’. Kaum lelaki pula dilihat gemar menghabiskan masa untuk tidur ketika kaum wanita sedang berkerja. Kaum lelaki ini hanya akan bangun semata- mata untuk tujuan makan, mandi dan keluar berhibur bersama rakan-rakan mereka sahaja.
Seterusnya, Emily juga menggambarkan di mana Raja-raja Melayu  sebagai pemalas. Hal ini kerana beliau melihat setiap urusan mengenai dirinya iaitu Raja atau Sultan perlu diuruskan dan diselesaikan oleh orang lain yakni pembantu-pembantu dan menteri-menteri bawahannya. Emily turut menambah bahawa Raja juga gemar meminta-minta kepada hamba rakyat jika berkehendakkan sesuatu dan ini secara tidak langsung digambarkan oleh Emily sebagai telah menyusahkan hamba rakyat dan raja sememangnya adalah seorang yang tidak berdikari .
Seterunya lagi, Emily juga ada mengisahkan tentang perihal orang Melayu yang banyak bercakap bahkan suka bercakap dengan nada yang kuat di dalam penulisannya. Orang Melayu digambarkan bercakap dengan menggunakan dialek yang berbeza dan sukar difahami, suka bercakap kosong, bahasanya kedengaran kasar, dan berterus terang. Orang Melayu juga digambarkan sebagai suka menokok tambah sesuatu cerita sehinggakan cerita yang asal sudah diselewengkan faktanya. Orang Melayu juga suka bercakap tentang sesuatu yang mereka sendiri tidak pasti samada ianya benar ataupun tidak. Hal ini amat jelas menunjukkan keburukan sikap Melayu pada pandangan Emily.
Tambahan lagi, Emily juga menganggap orang Melayu sebagai bodoh kerana pada suatu hari, ketika beliau sedang menulis mengenai penduduk tempatan di Tanah Melayu, ramai orang Melayu yang datang mengerumuninya untuk melihat beliau menulis. Disamping melihat juga, orang Melayu juga melahirkan rasa kagum dengan kebolehan Emily menulis. Ini dianggap oleh Emily sebagai bodoh kerana ia menggambarkan tahap intelektual Melayu yang masih rendah ketika itu dan langsung tidak mengenal huruf rumi yang diperkenalakan oleh Barat.
Emily juga menganggap orang Melayu bodoh kerana sanggup menurut apa sahaja arahan dari orang atasan. Sebagai contoh, suatu hari Tunku Dia Udin mengarahkan seorang pengikutnya pergi mencabut jagung yang ditanam dilaman rumah seorang rakyat. Pengikut Tunku Dia Udin pun pergilah mencabut jagung itu tanpa banyak bantahan walaupun tahu ianya adalah suatu kezaliman kepada tuan jagung itu iaitu dengan mencuri hasil tanaman orang lain. Namun, apa yang lebih mengejutkan ialah , apabila tuan punya jagung itu melihat jagungnya dicuri oleh pengikut Tunku Dia Udin, dia terus datang mengadap Tunku Dia Udin untuk menyembah dan memohon ampun walhal yang dianiaya adalah dirinya sendiri. Ini jelas pada pendapat Emily bahawa orang Melayu bangsa yang bodoh kerana memberi taat setia yang membuta tuli sehingga menganiaya diri sendiri.
Tidak ketinggalan, Emily juga menjustifikasi cara pemakaian orang Melayu dengan memakai kain sarong sebagai satu perkara yang bodoh dan sebab kepada kemalasan orang Melayu. Emily melihat pakaian itu tidak lebih sekadar untuk menyusahkan dan membataskan pergerakan mereka, bahkan Emily mengatakan antara sebab yang menyebabkan lelaki Melayu malas berkerja ialah kerana pakaian sarong mereka itu yang tidak praktikal untuk kerja-kerja lasak. Oleh yang demikian, ramailah orang Melayu terutamnya kaum lelaki lebih banyak menghabiskan masa dengan tidur dan bersembang di kedai kopi bersama rakan mereka yang lain.
Emily juga mengkisahkan satu lagi kebodohan orang Melayu apabila berlaku kematian, orang Melayu tidak melaporkan kematian itu kepada pihak polis. Apabila disuruh melaporkan kematian itu kepada pihak polis, orang Melayu bertanya tentang apakah yang dimaksudkan dengan polis. Ini jelas pada pendapat Emily bahawa orang Melayu tidak terdedah dengan kemajuan dari segi bahasa. Emily juga turut menyatakan tentang tabiat orang Melayu yang suka mengambil kesempatan terhadap keluarga sendiri dan orang lain. Ini dibuat dengan memerihalkan tentang Datu Dagang yang mempunyai tiga orang isteri. Apa yang menarik ialah, ketiga-tiga isteri Datu Dagang ini ialah adik-beradik .
“Datu Dagang telah meminjamkan wangnya kepada abangnya , tetapi abangnya tidak dapat membayar kembali hutang Datu Dagang . Maka sebagai penebusnya , Datu Dagang mengambil anak-anak abangnya itu seorang demi seorang . Selepas berkahwin dengan tiga orang anak abangnya itu yang juga anak saudaranya sendiri , hutang abangnya dianggap selesai”.
Kisah ini telah menyebabkan Emily menganggap orang Melayu suka mengambil kesempatan diatas kesusahan dan kesempitan orang lain walaupun orang yang dianiaya iaitu adalah keluarga sendiri. Ini pada pendapat Emily ialah orang Melayu itu mempunyai institusi kekeluargaan yang sangat rapuh dan tidak bertolak ansur.
Seterusnya, Emily juga seperti Isabella Bird iaitu menganggap orang Melayu sebagai pengotor. Ini kerana Emily melihat suatu kejadian dimana keluarga Melayu hanya membiarkan mayat salah seorang ahli keluarga mereka membusuk tanpa dikebumikan kerana kesempitan hidup. Hidup dalam kebusukan ini dianggap oleh Emily sebagai kotor dan menjijikan kepadanya. Selain itu, Emily juga menganggap tabiat makan orang Melayu yang tidak menggunakan sudu dan garfu sebaliknya menyuapkan makanan ke mulut dengan menggunakan tangan adalah suatu yang menjijikkan dan kotor dan ketinggalan zaman.
Tabiat orang Melayu yang suka minum air sungai juga dianggap kotor kerana air itu tidak dapat dipastikan tahap kebersihannya terlebih dahulu. Akibat tabiat ini , ramai yang menemui ajal kerana diserang penyakit Cholera. Emily menceritakan tentang wanita-wanita Melayu yang meminta-minta barangannya seperti pakaian, jam, kertas, pin dan pelbagai lagi barangan miliknya. Emily juga menceritakan tentang pengembara-pengembara Melayu yang mengembara tanpa membawa sebarang bekalan, sebaliknya  apabila terasa lapar atau ingin bermalam, pengembara-pengembara Melayu ini akan berhenti di mana-mana kampung yang ada untuk meminta sedikit makanan dan tumpang bermalam. Emily juga menceritakan tentang perihal Raja-raja Melayu yang suka meminta bermacam-macam barang daripada hamba rakyatnya dan adakalanya barangan yang diminta adalah tidak logik dan tidak tercapai oleh akal daripada rakyatnya.

4.3) Pandangan Negatif yang Lain
Selain pandangan oleh dua sarjana di atas, terdapat ramai lagi sarjana Barat yang sependapat dengan Emily dan Isabella. Diantaranya ialah Frank Swettenham, Clifford, Tom Pires, John Francis Gamelli Careri, De Vellez Guirerro, dan Sir Stamford Raffles. Seterusnya, terdapat juga beberapa sarjana tempatan yang turut menyatakan Melayu ini malas namun mereka masih mempunyai justifikasi tersendiri dan alasan di atas pernyataan yang diutarakan oleh mereka.
Frank swettenham menyatakan bahawa Melayu itu sederhana, primitif, malas, suka melawan dan menentang perubahan(Swettenham, 1967:208). Selain itu, Frank Swettenhem turut mengatakan bahawa orang Melayu ini suka berjudi dan menjadikan aktiviti melagakan ayam sebagai cara terbaik untuk mereka berjudi. Frank juga menyatakan bahawa orang Melayu mempunyai sifat enggan bekerja dan sukar menerima perubahan. Tambahan lagi, beliau turut berpendapat di mana orang Melayu merupakan seorang muslim yang fatalis iaitu tidak mengikut ajaran sebenar Islam dengan mempercayai tahyul dan berjudi. Disamping memberikan presepsi buruk kepada orang Melayu, beliau juga tidak ketinggalan ada memuji sifat orang Melayu iaitu dengan menyatakan bahawa orang Melayu mempunyai kesetiaan yang tinggi kepada pemerintah, ramah tamah, bermurah hati. Namun, diakhir pujian itu, beliau sekali lagi mengaitkan Melayu dengan sikap yang buruk iaitu boros dan tidak berjimat cermat.
Pandangan negatif terhadap Melayu juga turut di utarakan oleh Clifford yang mana Clifford mengatakan bahawa Melayu merupakan orang paling malas yang mendiami bumi yag dicipta oleh tuhan (Clifford (1966:179). Clifford mengatakan sedemikian apabila beliau menyaksikan 25 orang melayu mendayung sampan tanpa henti selama 26 jam tetapi bergerak dalam kawasan yang sama untuk mencari jalan keluar dari kawasan air. Clifford di dalam pengamatannya dan penilaiannya terhadap bangsa Melayu dibuat dengan membuat perbandingan, misalnya diantara Melayu Pantai Barat dengan Melayu Pantai Timur, dan diantara orang Melayu Pahang dengan Orang Melayu Terengganu. Clifford membuat perbandingan dengan mengatakan bahawa Melayu di Pantai Barat kebanyakkannya adalah orang yang bodoh, lemah pemikiran tetapi mereka lebih beradab. Tetapi orang Melayu di Pantai Timur adalah orang yang tidak beradab. Bagi beliau juga, orang Melayu Pahang adalah orang yang berfikiran maju tentang ketenteraan, suka bercinta dan gemar bersabung ayam. Pada Cliford ini tampak jelas menunjukkan masyarakat ini tidak mengamalkan agama, tidak intelek dan angkuh. Mereka sekadar berangan-angan dan tidak mahu berusaha. Orang Terengganu pula pada pandangan Clifford seorang yang sukakan kedamaian, suka bekerja, tetapi kurang memberi kesetiaan kepada pemerintah mereka. Selain itu, sikap Melayu yang suka melatah juga dianggap Clifford sebagai satu perbuatan yang tidak senonoh dan kurang sopan. Ini kerana, perbuatan “latah” tersebut akan disusuli dengan bahasa yang tidak sopan
Clifford dan Swettenham menyatakan bahawa sifat malas orang Melayu sebenarnya dipengaruhi oleh faktor keadaan iklim di tanah melayu yang mana iklim yang panas dan lembap sepanjang tahun memberi peluang yang tinggi kepada tumbuhan untuk hidup dengan subur dan makanan mudah diperolehi tanpa perlu berkerja keras(Clifford, 1916:151; Swettenham, 1920:136-137). Maka, orang Melayu tidak perlu bekerja keras untuk mendapatkan rezeki.
Seterusnya, Tom Pires pula menyatakan bahawa orang Melayu adalah bangsa kuat cemburu terutamanya golongan lelaki. Hal ini kerana, orang Melayu tidak mendedahkan isteri mereka kepada umum. Beliau juga berpendapat bahawa orang Melayu adalah bangsa yang cerdas namun mereka sering mengabaikan pelajaran dan satera serta kurang minat untuk belajar. Tom Pires juga mengatakan bahawa terdapat perbezaan yang ketara di antara golongan bangsawan Melayu dengan rakyat bawahan. Beliau mengtakan bahawa golongan bangsawan gemar untuk berjudi dan hidup bersenang lenang manakala golongan rakyat pula hidup dalam kedaifan dan sering bekerja keras untuk mendapatkan makanan.
Tambahan lagi, John Francis Gamelli Careri yang datang ke tanah Melayu pada 1665 pula menyatakan bahawa orang Melayu adalah pencuri yang handal. Hakikat ini sebenarnya merujuk kepada orang Melayu Minangkabau yang beragama Islam. Selain itu, De Vellez Guirerro seorang Kapten Portugis pula mengatakan orang Melayu biadap dan kurang sopan.
Selain itu, sarjana Barat yang seterusnya mengkritik orang Melayu dengan menyatakan orang Melayu ini adalah bangsa yang malas ialah Sir Stamford Raffles iaitu seorang Leftenan Inggeris. Stamford mengatakan bahawa orang Melayu tidak memperolehi tingkat perkembangan intelektual yang tinggi. Ini adalah disebabkan tiadanya sistem Undang-undang yang diterapkan dengan baik dan diterima umum menyebabkan punca perwatakan Melayu menjadi sedemikian iaitu malas dan tidak teratur. Beliau turut menyambung bahawa orang Melayu malas kerana ketika ada beras mereka tidak bekerja kerana tiada dorongan yang memberi mereka rangsangan untuk bekerja dan terus mencari rezeki. Seterusnya juga, Stamford turut menyatakan bahawa orang Melayu adalah masyarkat yang pendendam dan benci terhadap penghinaan serta pendamaian yang dibawa oleh pihak lain. Beliau juga tidak ketinggalan turut menghina agama Islam sebagai agama perompak ketika menjatuhkan hukuman kepada seorang Melayu yang mencercanya.
Tidak ketinggalan, selain sarjana Barat di atas terdapat juga sarjana tempatan iaitu Melayu sendiri yang mengatakan bahawa orang Melayu itu malas di dalam penulisan mereka. Individu tersebut adalah Abdullah Munsyi  di dalam bukunya yang berjudul “Pelayaran Munsyi Abdullah” dan Tun Dr Mahathir Muhammad di dalam karyanya iaitu “Dilema Melayu”. Abdullah Munsyi ada mengatakan di mana orang Melayu ini malas, namun beliau tidak ketinggalan memberikan sebab di atas kemalasan Melayu tersebut. Abdullah mengatakan orang Melayu malas adalah disebabkan adanya perkaitan dengan sistem pemerintahan, pembesar dan rakyat. Kebanyakkan orang Melayu terutamanya di Pahang, Kelantan dan Terengganu pada pandangan beliau tidak rajin bekerja kerana segala harta yang diperolehi akhirnya akan dirampas oleh pemerintah sekiranya pemerintah berkehendakkan sesuatu. Beliau turut menambah bahawa di dalam kaum Melayu tidak dinafikan terdapat yang malas, namun perkara ini adalah universal iaitu bangsa Eropah juga bukan semuanya adalah individu yang rajin dan terdapat juga dalam kalangan mereka yang malas dan tidak mahu berusaha dalam kehidupan.
Tun Dr Mahathir pula menyatakan bahawa Melayu adalah bangsa yang malas dan sukar untuk diubah di dalam karyanya “Dilema Malayu”. Namun, tujuan beliau berkata sedemikian adalah bertujuan untuk membangunkan bangsa Melayu yang sekian lama terumbang-ambing serta ketinggalan jauh di belakang bangsa lain dari segi ekonomi.[2] Dalam mengistilahkan Melayu sebagai malas, Tun Dr Mahathir memberikan sebab dan mengapa hal yang demikian berlaku. Beliau berkata iklim dan cuaca di Malaysia yang panas sebenarnya membuatkan orang Melayu kurang berkembang pemikirannya dan mereka memerlukan rehat yang banyak kerana cuaca yang panas di siang hari. Namun, perkara ini tidak releven jika dibandingkan dengan bangsa Arab yang dikatakan maju walaupun mereka duduk di kawasan yang panas dan perkara ini akan dibincangkan secara panjang lebarnya pada perbincangan yang seterusnya.

5.0) Pandangan tokoh yang menolak pandangan bahawa bangsa Melayu adalah bangsa yang malas
Terdapat tokoh dan sarjana bukan sahaja sarjana tempatan, tetapi juga sarjana Barat yang tidak bersetuju dengan penyataan bahawa orang Melayu itu malas. Antara tokoh yang lantang menentang pandangan bahawa bangsa Melayu malas ini ialah Professor Syed Hussin Al-Attas(SHAA), Nik Ahmad Azmi, Dato’ Dr Ismail Noor dan Muhammad Azaham Wahab. Antara sarjana Barat yang menentang Melayu malas ini pula ialah Francois Valentyn, Sir Richard Winsted, Vaughan dan Bowrey. Setiap tokoh ini mempunyai pendapat yang tersendiri dalam menjustifikasi dan memberi penilaian terhadap sikap orang Melayu di dalam tulisan mereka. Beberapa hujah juga turut dinyatakan dan dipersembahkan dalam penulisan mereka sebagai cara untuk mengukuhkan lagi pendapat serta pendirian mereka.
5.1) Syed Hussien Al-Attas (SHAA)
Syed Hussin Al-Attas(SHAA) didalam bukunya iaitu “Mitos Pribumi Malas” banyak membincangkan tentang pendapat beliau yang tidak bersetuju 100% dengan pendapat dan pandangan Barat yang mengatakan orang Melayu sebagai bangsa yang malas dan tidak berusaha. Pada pendapat SHAA, beliau berpendapat bahawa orang Melayu memperolehi jolokan malas kerana tidak mahu menjadi alat dalam sistem perdagangan kapitalisme kolonial. Hal ini bermakna, orang Melayu tidak mahu menjadi hamba untuk mengkayakan bangsa Eropah dan mereka juga tidak mahu menjalinkan hubungan fungsional dengan orang Barat yang pada pandangan mereka merupakan pengikis harta bangsa serta penjajah yang dibenci sama sekali. Situasi inilah yang menyebabkan Barat tidak berpuas hati serta mengecap bangsa Melayu sebagai pemalas kerana tidak mahu memenuhi keperluan dan kehendak mereka untuk meningkatkan ekonomi Barat.[3]
SHAA juga menyangkal pendapat sarjana Barat yang mengatakan Melayu adalah bangsa yang malas dengan menjadikan contoh orang Melayu yang telah terlibat dalam jawatan di era pentadbiran Barat iaitu dengan bertugas menjadi sebagai penghantar surat, polis, ahli bomba  dan sebagainya. Hal ini jelas pada pendapat SHAA iaitu jika malas itu diukur dari segi malas bekerja, maka pendapat sarjana Barat yang mengatakan Melayu malas ternyata salah sama sekali kerana terdapat ramai orang Melayu yang telah terlibat dalam urus tadbir kerajaan Barat misalnya British terutama sebagai orang tengah atau penghubung antara kerajaan dengan rakyat.
Seterusnya, SHAA juga mengatakan sekiranya Melayu itu malas, maka mereka malas dengan segala kerja yang dibawa oleh orang Barat itu sahaja. Hal ini demikian kerana, orang Melayu sebelum kedatangan Barat telah mempunyai kemahirannya yang tersendiri. Orang Melayu dikatakan mahir dalam pekerjaan yang berkaitan dengan hutan, kerja-kerja ukur kayu, seni bina dan sebagainya. Orang Melayu dikatakan mempunyai ketabahan yang tinggi, bersopan santun serta seorang yang pembersih di selang masa. Oleh yang demikian, kerana tidak mahu bekerja dengan pihak kolonial yang dianggap penjajah dan sememangnya bangsa yang dibenci oleh orang Melayu itu sendiri, akhirnya orang Melayu itu sendiri telah dicap sebagai pemalas. Maka, dapat kita lihat bahawa kemalasan yang diwarwarkan oleh Barat itu bukan merujuk kepada kemalasan bekerja, tetapi atas sikap orang Melayu yang tidak mahu dipergunakan seperti anjing oleh orang Barat.[4]
Tambahan lagi, faktor penjajah yang gemar mengambil kesempatan, menyiksa serta menindas orang dalam urusan pekerjaan juga menjadi salah satu faktor untuk orang Melayu tidak mahu terlibat dengan Barat. Ini dapat dilihat pada tindakan Barat iaitu British yang sering menyiksa buruh dari China dan India untuk bekerja keras demi memenuhi keperluan dan hasrat kolonial untuk mendapatkan keuntungan yang berlipat ganda daripada aktiviti perladangan dan perlombongan yang mendapat permintaan tinggi pada ketika itu.
SHAA juga mengatakan bahawa kemalasan Melayu adalah satu mitos semata-mata. Hal ini kerana setiap tindakan yang dilakukan yang diamalkan oleh orang Melayu mempunyai sebab tersendiri dan hal ini dapat dikaitkan dengan faktor iklim, alam dan faktor manusia itu sendiri. Menurut SHAA, iklim tanah Melayu yang panas memerlukan orang Melayu untuk mendapatkan rehat yang lebih lama berbanding iklim sejuk yang mendorong untuk seseorang melakukan sesuatu kerja untuk memanaskan badan. Lantaran itu juga, orang Melayu juga tidak seharusnya dicap sebagai malas kerana di Eropah terdapat pembantu yang terdiri daripada kalangan peribumi Melayu yang membantu orang Eropah dalam urusan pekerjaan di rumah dan tempat kerja. SHAA juga turut memperkatakan bahawa, kebanyakkan pekerjaan akan dilakukan oleh pembantu yang terdiri daripada peribumi, manakala tuan rumah atau orang Eropah dikatakan lebih gemar duduk di rumah minum alkohol.[5]
Tambahan lagi, SHAA juga membuat perbandingan terhadap mutu pekerjaan dan komitmen yang diberikan oleh Barat dengan pekerja Melayu dengan menjadikan hasil penulisan Jose Rizal iaitu di dalam akhbar “La Solidaridad” sebagai rujukan. Di dalam akhbar tersebut Jose Rizal menunjukkan kemalasan pegawai atasan Eropah yang bekerja di pejabat datang jam 10 pagi dan pulang sebelum jam 12 tengah hari. Berbanding dengan jurutulis tempatan yang diupah oleh bangsa Eropah itu sendiri, beliau datang ke pejabat pada pukul 8 pagi dan pulang ke rumah sekitar jam 2 petang.[6] Hal ini jelas menunjukkan bahawa Barat cuba menafikan kerajinan dan ketabahan penduduk tempatan dalam melaksanakan sesuatu penugasan yang diberikan, dan jika difahami dengan mendalam maksud perkataan tersebut, dapat kita katakan bahawa masyarakat tempatan sememangnya sudah biasa dengan iklim dan persekitaran yang ada dan mereka sudah terbiasa dengan iklim sebegitu berbanding penjajah yang datang ke tanah air orang untuk mendominasi kekayaan orang lain.
Tidak ketinggalan, SHAA juga mempertikaikan karya penulisan sarjana Barat yang melabel malas kepada bangsa Melayu. Hal ini kerana, pada pendapat SHAA penulisan yang dilakukan adalah tidak telus dan tidak mengamalkan prisip serta disiplin ilmu penulisan yang sebenarnya. Penulis yang menulis tentang bangsa Melayu ini kebanyakkannya terdiri daripada rahib, pegawai pemerintah, pemilik ladang, tentera, penulis jalanan dan pelancong. Kesemua penulis ini menerapkan sikap bangga akan bangsa ketika menulis sesuatu hasil penulisan sehingga mereka sebelum menulis apa-apa tentang orang Melayu telah ditanamkan dengan presepsi yang buruk tentang orang Melayu. Pada pendapat SHAA, dalam penulisan yang baik segala semangat kebangsaan, kesukuan, dan pilih kasih haruslah dilemparkan sejauh mungkin bagi menghasilkan penulisan yang lebih telus dan tepat faktanya. Tambahan pula, kebanyakkan penulis yang menulis perihal tentang orang Melayu lebih terarah kepada kaca mata Barat semata-mata dan mereka menulis sesuatu dengan tidak mendalami akan sesuatu perkara yang ditulis. Ini bermaksud, mereka sekadar tulis tentang apa yang mereka lihat secara zahirnya tetapi mereka tidak memahami apa maksud tersirat yang terdapat di dalam sesuatu tindakan atau perbuatan yang dilakukan oleh orang Melayu tersebut.[7]
5.2) Nik Ahmad Azmi
Nik Ahmad Azmi merupakan salah seorang di antara sebilangan ‘orang-orang kecil’ yang banyak memberikan sumbangan ke arah perpaduan Melayu. Di dalam bukunya “Melayu di Persimpangan”, beliau telah banyak memuji kehebatan ketuanan Melayu. Beliau berpendapat bahawa orang Melayu adalah bangsa yang sangat hebat dan telah wujud sekian lama dan ini dikaitkan dengan kewujudan kerajaan Melayu lama seperti kerjaan ‘Langgasu’ atau Langkasuka di Kedah dan Kerajaan Gangga Negara yang berpusat di Beruas. Mengenai mitos Melayu malas, beliau menyatakan bahawa penulisan yang dibuat oleh Barat atau sama ada tali barutnya, sebenarnya bertujuan untuk menegakkan kedaulatan penjajah itu sendiri dan ini dilakukan dengan memperlekahkan penduduk pribumi. Hal ini bertujuan pada pendapat Nik Ahmad Azmi sebagai salah satu cara untuk melemahkan pemikiran Melayu sehingga akhirnya menyebabkan Melayu merasakan bahawa mereka adalah bangsa yang mundur dan kemajuan yang sebenarnya adalah yang dibawa oleh Barat.[8]
Dalam penulisan Nik Ahmad ini, beliau berpendapat bahawa orang Melayu bukanlah bangsa yang malas. Malahan beliau menambah lagi bahawa, kemunduran dan kemerosotan Melayu ini adalah disebabkan oleh kealpaan orang Melayu itu sendiri yang sering lalai dan leka. Beliau turut menambah, orang Melayu ini juga sebenarnya bukanlah malas, tetapi mereka sebenarnya telah berkeadaan sedemikian rupa dan itu juga merupakan tradisi dan budaya Melayu iaitu dimana orang Melayu ini tidak boleh diabaikan dan dinafikan bahawa mereka adalah bangsa yang mempunyai sistem nilai dan budi pekerti yang halus disamping mewarisi sifat rendah diri sejak dari turun temurun.[9]
Seterusnya, Nik Ahmad Azmi juga memberikan contoh dalam mengukuhkan hujahnya bahawa bangsa Melayu ini bukanlah dari keturunan yang malas. Hal ini diperjelaskan dengan mengaitkan ketamadunan bangsa Melayu terawal yang berjaya membina empayar dan kerajaan yang hebat dan gagah sehingga terkenal di rantau dunia. Nik Ahmad Azmi juga tidak bersetuju dengan sesetengah pendapat yang mengatakan bahawa faktor muka bumi yang subur menyebabkan sesuatu bangsa akan menjadai mundur. Hal ini seolah-olah ini memberitahu bahawa sekiranya kesuburan muka bumi Melayu ini tidak subur  maka akan berkemungkinan orang Melayu akan maju. Ini sama sekali tidak dapat diterima pakai kerana masyarakat di Afrika, Nepal dan Bangladesh walaupun negara mereka tidak subur seperti di tanah Melayu, faktor itu tetap tidak mempengaruhi mereka untuk memajukan bangsa mereka, malahan terdapat segelinitr daripada rakyat mereka yang berhijrah untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik di negara asing. Maka, pada pendapat Nik Ahmad faktor kesuburan sememangnya sukar untuk diterima dan kemalasan sebenarnya adalah dikaitkan dengan faktor individu itu sendiri.[10]
Dalam penulisan beliau juga, Nik Ahmad Azmi juga mengatakan bahawa Melayu berada pada posisi yang sangat unik dan cukup kronik sehingga tiada mana-mana pengkaji yang dapat memberikan jawapan mutlak terhadap sikap dan tabiat Melayu. Keunikan Melayu ini berkemungkinan besar disebabkan oleh faktor kedudukan muka bumi yang terdedah kepada pelbagai pengaruh elemen budaya yang berbeza. Maka, dalam konteks Melayu malas pada pendapat Nik Ahmad Azmi adalah sebagai salah satu kelemahan daripada penulis yang gagal memahami susur galur Melayu dan adat resam serta tradisi budaya Melayu sehingga mereka memberikan tanggapan yang salah kepada bangsa Melayu sehingga dicap sebagai pemalas.[11]

5.3) Ismail Noor dan Muhammad Azaham
Ismail Noor dan Muhammad Azaham di dalam buku mereka “Takkan Melayu Hilang di Dunia”, juga ada menceritakan serba sedikit tentang jiwa Melayu. Mereka mengatakan bahawa kerangka pemikiran Melayu adalah agak mudah untuk ditinjaui tetapi sukar diselami. Seorang bukan Melayu yang mempunyai pemikiran cetek dan perhubungan superfisial mengenai orang Mealyu berkemungkinan menyalah tafsir profilnya.[12] Mereka mencela kelemahan Frank Swettenham dan Hugh Clifford yang seringkali menyalahtafsirkan perwatakan bangsa Melayu.
Di dalam penulisan Ismail Noor dan Muhammad Azaham ini, mereka turut mempersoalkan tindakan para panulis Barat yang membuat catatan dan andaian bercorak imperialis iaitu dengan mengabaikan disiplin penulisan yang tidak menggalak seseorang bersikap berat sebelah “buyers” dalam menyampaikan buah fikiran. Dalam buku ini juga, mereka turut menjadikan contoh Jospeh Conrad seorang kelasi British yang gemar menulis mengenai cerita-cerita yang beralaskan kehidupan dan pengembaraan orang Melayu. Diantaranya ialah “Al-Mayer’s Folly, Lord Jim dan Captain Tom Lingard”. Penulisan Conrad berkenaan orang Melayu adalah sangat berbeza di mana beliau sangat memuji orang Melayu sebagai bangsa yuang bersikap romantik dan sukakan keindahan serta kecantikan. Ini dibuat berdasarkan gaya penulisan beliau yang berorientasikan pendirian anti-imperialisme. Beliau menyangkal sama sekali apa yang ditulis oleh rakan-rakan sezamannnya dan menuduh mereka berkecenderungan terhadap kepentingan kuasa penjajah dalam penulisan mereka.[13]
Seterusnya, Ismail dan Muhammad Azaham juga mengatakan bahawa bangsa Melayu bangsa yang mudah bersatu padu sekiranya mereka diperlaga-lagakan atau diancam oleh musuh daripada luar atau dalam yang boleh membahayakan ketuanan mereka. Orang Melayu juga dikatakan agak sukar untuk membantu bangsa asing dalam usaha menentang bangsa Melayu sendiri yang dikatakan oleh kolonial sebagai pengkhianat negara. Hal ini jelas digambarkan dengan menjadikan ekspedisi Cliford memburu ‘Mat Kilau’ dan pengikut-pengikutnya yang dikatakan telah menderhaka kepada British tidak mendapat komitmen yang tinggi oleh askar-askar Melayu pada ketika itu.[14]
Selain itu, Ismail Noor dan Muhammad Azaham juga menjadikan faktor penentang Mat Kilau dan beberapa siri pejuangan orang Melayu dalam menentang penjajah sebagai satu medium yang membangkang sama sekali pengamatan penjajah bahawa orang Melayu itu patuh kepada kepada perintah tanpa penilaian atau usul periksa terlebih dahulu adalah terlalu simplistik. Ini bermakna, orang Melayu sebenarnya adalah bangsa yang lemah lembut dan kaya dengan nilai budi bahasa, namun mereka akan bangun menegakkan bangsa sekiranya ketuanan mereka dicemuh atau diperlekehkan.[15]

5.4) Tokoh Barat yang berpandangan positif tentang Melayu
Antara tokoh Barat yang memberikan gambaran positif tentang bangsa Melayu adalah Francois Valentyn, Sir Richard Winsted, Vaughan dan Bowrey. Mereka mempunyai pandangan yang berbeza mengenai penduduk tanah Melayu pada ketika itu terutamanya orang Melayu. Francis Valentyn yang berasal dari Belanda menyatakan dalam penulisannya bahawa Orang Melayu adalah orang yang lucu, lincah, cerdik, berbakat dan paling bersopan santun dari dunia Timur. Selain itu, Sir Richard Winsted pula menyatakan bahawa julukan malas tidak seharusnya diberikan kepada orang Melayu. Hal ini kerana, orang Melayu adalah bangsa yang sangat rajin apabila minatnya timbul. Hal ini kerana, julukan kemalasan yang diberikan kepada Melayu adalah disebabkan atas sikap yang malas bekerja. Namun, pada pandangan Sir Richard Winsted ini adalah tidak tepat kerana ramai orang Melayu yang sudah mula melibatkan diri bekerja dengan kerajaan kolonial disamping ada diantara mereka yang terlibat dengan ekonomi tempatan dan sara diri.
Seterusnya, menurut Bowrey pula seorang lelaki British, beliau memuji kemakmuran Kedah dan Sultannya yang adil dan jujur, beradab, pendamai dan suka bersahabat. Hal ini kerana, pada ketika itu, beliau melihat bahawa orang Melayu terutama di Kedah sering hidup dalam toleransi dan bersatu padu. Hal ini berlaku adalah disebabkan oleh wujudnya pemerintahan yang adil dan menjaga kebajikan rakyat. Tidak ketinggalan, seorang lagi orientalis Barat iaitu Vaughan yang berada di tanah Melayu pada tahun 1875 telah menulis di dalam catatannya berkenaan dengan orang Melayu. Beliau berpendapat bahawa orang Melayu ini seorang yang sangat berani, patuh, jujur, tekun serta sering memupuk semangat ummah Melayu dengan bekerjasama dalam aktiviti gotong-royong dalam apa jua hal atau masalah yang timbul di dalam kampung mereka atau komuniti mereka.[16]

6) Pandangan peribadi / Analisa
Pada pendapat saya berkenaan denga konteks malas ini, ia sebenarnya agak sukar untuk dihuraikan dan jawapan yang tepat sukar untuk dicapai. Namun berkenaan dengan konsep mengaitkan bangsa Melayu dengan bangsa yang malas, maka pada pendapat saya ia adalah satu metafora yang digunakan oleh Barat untuk mewarwarkan bahawa mereka bukanlah bangsa yang pemalas. Dalam hal ini juga, apa yang cuba ditonjolkan disini ialah, tiada seorang pun bangsa Barat yang malas sama sekali. Maka dalam hal ini, pada pendapat saya ianya adalah tidak benar sama sekali.
Dalam melabelkan sesuatu bangsa sebagai malas, maka sebenarnya seorang penulis pada pendapat saya tidak boleh menjatuhkan hukum kepada sesuatu bangsa dengan menilai berdasarkan kepada beberapa komuniti dan koloni sahaja. Hal ini kerana, pada pendapat saya setiap bangsa yang wujud di dunia ini, bukan semua bangsa yang wujud itu sempurna sifatnya. Hal ini kerana, di setiap bangsa yang ada dan wujud di muka bumi ini, maka di dalam setiap bangsa itu sudah pasti ada dalam kalangan mereka yang berkelakuan tidak baik, malas dan sebagainya. Hal ini pasti jelas sekiranya jika kita mengaitkan elemen id, ego dan superego yang wujud dalam diri manusia seperti yang diperjelaskan oleh Segmeund Freud di dalam teori psikoanalitiknya. Beliau jelas menyatakan bahawa manusia sejak azali lagi telah dilahirkan bersama ketiga-tiga elemen ini yang mempengaruhi segala tindak tanduk dan kelakuan manusia itu.
 Maka, dalam hal ini jelas menggambarkan bahawa setiap bangsa yang wujud di dunia ini sebenarnya mempunyai peradaban yang tersendiri berdasarkan konsep dan presespi bangsa masing-masing terhadap ketamadunan dan peradaban dalam bangsa mereka. Dalam erti kata lain, setiap bangsa yang wujud di dunia ini mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing dan setiap kelebihan yang wujud dalam setiap bangsa adalah berbeza mengikut ideologi dan menurut kefahaman masing-masing dalam menilai kemajuan dan peradaban. Maka, dalam konteks malas ini sebenarnya tidak sepatutnya dengan mudah dijadikan sebagai alat untuk menghukum sesuatu bangsa dengan sewenang-wenangnya kerana kita perlu ingat setiap bangsa ada kelebihannya yang tersendiri. Penulisan yang dibuat dengan dasar berat sebelah dan bersikap “buyers” juga hakikatnya memperlihatkan kelemahan bangsa kolonial dalam membuat penilaian terhadap bangsa Melayu iaitu mereka tidak telus dalam menjalankan disiplin dalam penulisan ilmiah.
Justeru , pihak kolonial juga tidak sedar bahawa jika mereka melabel Melayu sebagai malas, itu hanyalah sekadar metafora dan satu pernyataan yang tidak kukuh dan tidak ada bukti yang boleh dijadikan sebagai sandaran kepada hujah mereka. Dalam perkara ini tidakkah mereka sedar bahawa sikap mereka yang menjajah dan menghisap darah bangsa lain dikatakan lebih hina dan tidak berperikemanusiaan jika dibandingkan dengan sikap malas yang sengaja ditonjolkan oleh mereka kepada bangsa Melayu.
Oleh yang demikian, dalam membuat penilaian yang baik kita harus memahami sedalam-dalamnya sesuatu bidang yang ingin dikaji kerana kefahaman yang cetek pada pandangan saya sememangnya akan menghasilkan satu karya penulisan yang lemah serta mempunyai kelompangan yang sangat ketara dan boleh diperdebatkan dan dipertikaikan.

7) Kesimpulan
Melayu Malas yang diusulkan oleh kolonial sememangnya mempunyai kelompangan dan kerapuhan dalam menyampaikan ideanya. Hasil karangan dan penulisan SHAA dalam bukunya “Mitos Peribumi Malas” sememangnya nyata dan terdapat kebenaran di dalamnya. Ini dikatakan demikian memandangkan terdapat beberapa bukti yang menjelaskan bahawa kemalasaan yang dilabelkan kepada peribumi Melayu dirantau Asia itu adalah tidak berasas. Penjelasan ini jelas terbukti melalui beberapa pandangan tokoh yang dimuatkan dalam buki ini. Sebelum itu perlu dijelaskan bahawa sesungguhnya penulis kolonial Eropah sememangnya amat senang sekali membicarakan tentang peristiwa sensasi, mengembar-gemburkan kemalasan peribumi Melayu di Asia semata-mata untuk mengangkat martabat bangsa Eropah itu sendiri. Kenyataan ini demikian sifatnya, lantaran mereka hanya melihat kemalasan itu dari aspek yang sempit sahaja. Dalam hal ini mereka seharusnya memandang secara global sebelum melabelkan kemalasan itu.
Dalam hubungan ini, sifat malas itu merupakan fitrah semulajadi  yang ada pada setiap manusia. Namun persoalannya disini mengapa peribumi Melayu sahaja diletakkan sebagai  peribumi yang malas? Jelaslah disini bahawa berlaku yang ketidakadilan dalam mengklafikasikan sesuatu bangsa dimukabumi ini. Ini kerana,kajian dan pandangan mereka berteraskan hak mereka sebagai penjajah yang menganggap diri mereka itu mampu untuk menjatuhkan maruah sesuatu bangsa dengan sewenang-wenangnya. Justeru itu, perbincangan ini dilakukan demi menyatakan bahawa kemalasan itu hanyalah mitos Barat semata-mata. Gambaran seumpama ini dipaparkan secara prejudis oleh penulis kolonial Barat. Contohnya, Raffles dimana apabila membincangkan konsep kerajinan dan kemalasan dikalangan orang Melayu adalah gambaran bahawa menurut beliau kedatangan agama Hindu dan Islam dikatakan menyebabkan kepelbagaian yang lebih jauh. Nyatanya disini Raffles tidak dapat membezakan perbezaan antara suku, bahasa, politik dan agama masyarakat Melayu di rantau ini. Sebaliknya dengan sewenang-wenangnya telah menganggap Islam sebagai alat yang memecahbelahkan masyarakat.
Namun sebaliknya dalam konteks ini Islam sebenarnya melakukan penyatuan yang menakjubkan baik secara politik mahupun  menurut Islam  ini terbukti di Indonesia, Malaysia dan Filipina. Islam telah bertindak sebagai alat menyatukan masyarakat di wilayah tersebut yang sebelum itu berpecah belah. Kenyataannya, Islamlah yang pertama sekali menerapkan sistem undang-undang bersama. Maka terbuktilah bahawa penilaian Raffles terhadap Islam dibuat berdasarkan ketidakfahamannya tentang kenyataan dan sikap intipati terhadapnya. Seterusnya daripada tinjauan yang dibuat didapati para ilmuan Eropah nyatanya terlalu asyik untuk menonjolkan sifat buruk dikalangan penguasa peribumi. Ini terbukti beberapa perlakuan raja yang zalim didaerah sering disebut-sebut dan diungkapnya seperti yang pernah dibicarakan pada awal perbincangan tentang buku ini.
Dalam konteks ini juga, apa yang dilakukan oleh para ilmuan Eropah adalah penggambaran yang tidak seimbang tentang para penguasa peribumi dan penguasa kolonial. Ini terbukti kezaliman, penindasan dan ketidakadilan beberapa penguasa kolonial disembunyikan daripada pembahasan mereka sedangkan hal penguasa peribumi digembar-gemburkan. Ternyatalah disini terdapat pentafsiran yang berat sebelah. Sebagai contoh perlakuan Tuan Bean yang dilukiskan oleh Abdullah Abdul Kadir Munsyi (1797-1854)  dimana Tuan Bean seorang pegawai kanan Inggeris yang dikirimkan ke Melaka sebagai komander pasukan tentera India menurut Abdullah, beliau digambarkan sebagai seorang pegawai yang tidak bermoral dan tidak berperikemanusiaan dimana ia banyak menghabiskan masanya dengan menyaksikan aliran darah manusia seperti ia suka menculik anak-anak tempatan dengan menyuruhnya bergaduh hingga sakit dan sebagainya. Namun perlakuan beliau yang tidak bermoral ini tidak digambarkan oleh Abdullah sebagai mewakili seluruh watak orang Inggeris. Jelaslah bahawa Abdullah cukup bistari dalam mengolah penilaiannya tentang watak orang Inggeris ini.
 Selain itu, Abdullah memprotes tindakan Raffles yang sangat memuji pemerintah Inggeris dimana pada pandangan Abdullah inilah punca yang menyebabkan mengapa para ilmuan kolonial Inggeris sanggup menyebarkan karyanya dengan melabelkan masyarakat peribumi Melayu sebagai pemalas. Ini kerana bagi Abdullah pelukisan gambaran yang disebarkan oleh para kolonial itu nyatanya tidak adil kerana sifat malas, kejam, zalim, takut dimiliki oleh kelompok penguasa kolonial.. Ini kerana mereka benar-benar sedar akan sistem nilai-nilai peribumi yang malas sangat menghayati ketekunan dan kerja. Begitu juga dalam catatan sejarah, ada menekankan tentang nilai kerja dan ketekunan. Sebagi contoh, undang-undang ini merupakan intisari hukum adat sungai Ujung, Negeri Sembilan. Dalam konteks ini melalui fasal 113 ada menekankan tentang nilai kerja dan ketekunan melalui fasal 99 ada menggulungkan akar kejahatan kedalamnya; adu ayam dan perjudian, minum-minuman, menghisap candu, kemalasan dan menghindari pekerjaan perlu dijauhkan.
. Jadi jelaslah bahawa alasan pihak kolonial mengenai peribumi Melayu yang dianggap malas itu sebagai tidak berasas. Sehubungan itu, menurut Abdullah lagi pada dasarnya nilai-nilai yang diketengahkan oleh undang-undang  tersebut adalah hal yang biasa bagi dunia Melayu dimana masyarakat Melayu sangat mencela kemalasan. Begitu juga dalam masyarakat Melayu adalah suatu keaiban apabila dikatakan pemalas, sehingga mereka  mengatakan bahawa seorang yang dapat menundukkan kegemaran malasnya adalah seorang yang berani. Selain itu Abdullah tidak menafikan bahawa kemalasan turut ada pada orang Melayu tetapi ia digambarkan secara bijak dan tidak menganggap sebagai kemalasan yang tulin.





BIBLIOGRAFI
Andaya,B.W. (1983) “Sejarah Melayu”,Petaling Jaya, Macmillan Publisher Sdn. Bhd.
Bird, Isabella. (1883) “The Golden Chersonese And The Way Thither”, New York, OUP,           DiulangCetak Kuala Lumpur ,(1967).
Filipina.biz.ph_philippine cultutre”, diambil daripada
Innes, Emily.(1885) “The Chersonese with the Gilding Off”,Jilid 2,London .
Ismail Noor dan Muhammad Azaham(2000), “Takkan Melayu Hilang di Dunia”, Pelanduk         Publications Sdn. Bhd. Selangor.
La Solidaridad(1889). “The Aspirations of The Filipinos”, Written by Asssociation Hispano          Filipine de Madrid diambil daripada En.wikipedia.org/wiki/La_solidaridad pada 8 Mac            2011.
Mahathir Mohammad.(1982). “Dilema Melayu” ,Kuala Lumpur,Federal Publications.
M.A. Fawzi Basri(1986). “Cempaka Sari: Sejarah Kesultanan Negeri Perak”, Kuala Lumpur,     United Selangor.
Mohd. Fadzil Othman(1980). “Kisah Pelayaran Muhammad Ibrahim Munsyi”, Dewan Bahasa    Pustaka, Kuala Lumpur.
Nik Ahmad Azmi(2000). “Melayu di Persimpangan”, Edusystem Sdn. Bhd. Selangor.
Shamsul Amri Baharuddin(2007) “Modul Hubungan Etnik”, Shah Alam, Penerbit UiTM.
Swettenhem,Frank(1920) “British Malaya : An Account of The Origin And Progress of British   Influence in Malaya”, Fourth Edition, London:John Lane.hlm 136-137.
Swettenhem,Frank(1967). “Stories and sketches by Sir Frank Swettenhem”, Kuala Lumpur :   Oxford University Press:hlm 208
Syed Hussien Al-Attas(2009). “Mitos Peribumi Malas”, Dewan Bahasa Pustaka, Kuala   Lumpur.
Syed Muhd. Naquib Al-Attas(1972) “Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu”, Kuala      Lumpur,UKM.




[1] Pandangan bird dan Innes terhadap orang melayu pada abad ke 19.( Mohd Adib Akmal, UKM(2008)
[2] Mahathir Mohammad(1982). “Dilema Melayu”
[3] Syed Hussien Al-Attas(2009) “Mitos Peribumi Malas”, ruj.bab 5
[4] Ibid ruj.bab 5
[5] Ibid ruj.bab 7
[6] La Solidaridad(1889) “The Inspiration of The Filipinos” by Association Hispano Filipina de Madrid
[7] Syed Hussien Al-Attas(2009) “Mitos Peribumi Malas”, ruj.bab 8
[8] Nik Ahmad Azmi(2000), “Melayu di Persimpangan”, hlm 25
[9] Petikan daripada kata-kata Ungku Aziz, Prof Diraja dlm “Melayu di Persimpangan” ruj hlm 26.
[10] Nik Ahmad Azmi(2000), “Melayu di Persimpangan”, ruj hlm 27-28
[11] Ibid hlm 31.
[12] Ismail Noor dan Muhammad Azaham(2000) “Takkan Melayu Hilang Di Dunia” ruj hlm.21
[13] The Star, February 2000, Agnes Yeow, “Millenary-Conrad’s Eatern Mirage”
[14] “Takkan Melayu Hilang di Dunia” ruj hlm. 23-24
[15] ibid
[16] Syed Hussien Al-Attas(2009) “Mitos Peribumi Malas”, ruj.bab 1-4