Berbulan madu di
Malaysia telah berubah seiring peredaran zaman. Kalau masa dulu pergi
berbulan madu di Paris, London, istana lama di Eropah dan pulau-pulau
tropika di Caribbean adalah amat pupular. Pasangan hari ini lebih gemar
berbulan madu di dalam negeri sahaja, selain menjimatkan kos banyak saja
tempat menarik di Malaysia yang setanding dengan apa yang anda boleh
dapat di luar negara, atau mungkin lebih menarik. Apapun selera anda
berikut adalah 10 tempat bulan madu paling menarik di Malaysia
berdasarkan pandangan penulis.
Pulau Pangkor Laut
Memetik kata Luciano Pavarotti penyanyi tenor tersohor semasa pembukaan resort eksklusif pulau itu pada tahun 1994,
“Aku hampir menangis ketika melihat betapa indahnya syurga ciptaan Tuhan ini.”
Pantai Emerald Bay di pulau ini
dengan pasir memutih dan air jernih bak kristal adalah syurga dunia bagi
pasangan yang ingin mandi, berjemur atau bercanda di pasiran pantai.
Coral Beach dikenali sebagai tempat untuk aktiviti snorkeling dan Royal
Bay untuk yang gemar aktiviti pelayaran. Chalet-chalet mewah dengan
binaan berunsur Melayu dan Bali, dengan pandangan ke laut luas atau
bukit menghijau menambah suasana romantik untuk pasangan yang baru
berkahwin. Kemudahan lain seperti jakuzi, mandi sauna, spa dan restoran
juga disediakan. Untuk ke Pangkor Laut anda boleh menaiki bot selama 40
minit perjalanan dari pekan Lumut. Kepada yang ada bajet lebih bolehlah
menaiki kapal terbang ke Pulau Pangkor yang terletak berhampiran dan
menaiki bot selama 15 minit ke Pangkor Laut.
Pulau Tioman
Pada tahun 1970 majalah Time
telah menobatkan Pulau Tioman sebagai satu dari sepuluh lokasi “pulau
untuk anda yang inginkan ketenangan” di dunia. Tioman memiliki lanskap
yang menakjubkan dengan hutan hujan malar dari bukit yang menjadi titik
tengah pulau sehingga ke pasir putih memeluk pantai manakala di selatan
pulau terdapat dua puncak dinamakan Nenek Si Mukut dan Batu Sirau.
Bawalah pasangan anda mandi-manda di Air Terjun Mukut yang turun dari
puncak granit. Kepada yang sukakan suasana romantik dan sunyi bersama si
dia bolehlah melalui satu jalan denai ke Tekek, arah utara dari Salang
dan arah selatan dari Genting. Pulau Tioman adalah destinasi terunggul
dalam aktiviti snorkeling dan penyelaman, dan terdapat banyak pusat
penyelaman PADI di hotel-hotel. Untuk suasana malam yang romantik
cubalah menjamu selera di satu dari banyak restoran menghadap laut.
Pulau Langkawi
Di pulau terbesar di Malaysia ini
ada banyak lokasi untuk pasangan baru berkahwin boleh menikmati bulan
madu dengan ketenangan dan penuh privasi. Dua tempat pilihan untuk
berbulan madu adalah Teluk Datai dan Tanjung Rhu. Terletak di utara
pulau Teluk Datai menjadi lokasi resort mewah. Ada pantai hanya ekslusif
untuk penginap hotel, dan mereka yang baru berkahwin boleh menikmati
pemandangan laut yang indah ibarat permata menghadap negara Thai.
Kira-kira 20 kilometer dari Teluk Datai di mana terletaknya Tanjung Rhu
(juga dikenali sebagai Casuarina Bay) yang memiliki pantai dengan air
laut memukau menghadap Laut Andaman. Semasa air surut, anda dan pasangan
boleh ke Pulau Pasir dan Pulau Gasing. Di kawasan paya berhampiran
ajaklah pasangan anda memberi makan kepada helang dengan tangan. Kepada
yang nak membeli-belah untuk rumah baru harus ke Kuah di mana barangan
dijual adalah bebas cukai.
Batu Ferringhi
Atau nama lainnya “Batu Orang
Asing” tempat ini telah menarik ramai personaliti di zaman silam.
Laksamana Portugis Alfonso D’Albuquerque singgah di Batu Feringghi pada
1511 sebelum belayar ke selatan untuk menakluk Melaka.
St. Francis Xavier singgah di sini pada 1545 dan Kapten James Lancaster
yang membuka Syarikat Hindia Barat mendarat di Batu Ferringhi pada
1600. Pada hari ini, pasangan yang ingin berbulan madu memilih
untuk tinggal di resort-resort atau melakukan aktiviti sukan air
bersama di tepi pantai yang indah. Bawalah isteri atau suami
berjalan-jalan di kedai antik atau galeri seni, dan pergi menikmati ikan
bakar Penang yang enak.
Untuk pasangan yang suka aktiviti
luar Cameron Highlands adalah destinasi yang sesuai dengan cuacanya
yang nyaman dan suasana sunyi. Bukit resort Malaysia ini terletak
kira-kira 4900 ke 5900 meter dari aras laut di atas Banjaran Titiwangsa.
Kalau nak cari tempat romantik memang tak susah. Pergi saja ke Taman
Ros atau nurseri-nurseri yang dipenuhi bunga-bunga berwarna warni. Suap
mulut pasangan anda dengan strawberi segar dari ladang. Nikmati suasana
yang romantis dengan secawan teh panas dan skon di Ladang Teh Bharat,
sambil melihat keindahan ladang Teh yang luas. Anda boleh sampai ke
Cameron highlands dengan menggunakan jalan dari Tapah yang mengambil
masa lebih kurang sejam. Aktiviti jungle-trekking ke hutan-hutan
berhampiran dalam bentuk pakej juga disediakan.
Santubong
Terletak 35 kilometer dari
Kuching, Santubong memberi anda keunikan tersendiri dengan pantai-pantai
yang cantik dan tarikan budaya tempatan. Pantai Damai berlatarkan
Gunung Santubung setinggi 810 meter adalah anugerah Allah yang amat
menarik. Anda boleh membawa pasangan menyusuri Sungai Salak, melihat
keindahan mtahari naik di puncak Santubong, atau melawat pulau-pulau
berhampiran. Kampung Budaya Sarawak di kaki Gunung Santubong adalah
muzium hidup di mana penghuni kampung daripada pelbagai kaum dan etnik
besar di Sarwak menunjukkan demonstrasi membuat hasil seni dan cara
hidup di dalam rumah tradisional mereka.
Tanjung Aru
Pantai Tanjung Aru terletak lebih
kurang 15 minit perjalanan dari Kota Kinabalu. Selain mandi-manda dan
berehat di pasiran pantai anda boleh cuba menunggang kuda. Berjalan
berpegangan tangan di Taman Putera Philip atau menjelajah pulau-pulau
berhampiran dan memancing laut dalam di Laut China Selatan. Bawalah si
dia menaiki bot dengan dasar gelas untuk menikmati kecantikan terumbu
karang diluar jangkaan di Taman Negara Tuanku Abdul Rahman. Kesemua lima
pulau di taman negara laut juga memilki pantai-pantai yang indah dan
hutan-hutan dengan jalan denai. Anda disyorkan menginap dai resort lima
bintang di Tanjung Aru untuk saat berbulan madu yang tidak luput di ingatan.
Pulau Redang
Terkenal di kalangan rakyat
Malaysia yang suka bercuti ke pulau di sini letaknya tempat menyelam
yang pastinya tidak boleh dilepaskan oleh mereka yang sukakan aktiviti
ini. Jelajah tinggalan kapal perang dunia kedua H.M.S. Prince of Wales
dan H.M.S. Repulse di lantai laut yang jernih dan jelas dilihat.
Pemenang Kementerian Pelancongan Malaysia dalam “Anugerah Tarikan
Pelancong Terbaik” Pulau Redang memiliki sebilangan hotel dan resort
bertaraf empat ke lima bintang dan juga padang golf 18 lubang. Pantai
Pasir Panjang yang indah pastinya melambai anda dan pasangan untuk ke
sana. Anda boleh cuba aktiviti snorkeling di pulau-pulau kecil (Pulau
Pinang dan Pulau Ekor Tebu) yang terletak berhampiran. Lokasi berbulan
madu ini terletak 45 kilometer dari Kuala Terengganu.
Cherating
Pernah terkenal sebagai syurga
“backpackers” Cherating memiliki tarikan yang tersendiri. Pantai yang
panjang dihiasi pohon-pohon kelapa yang melambai dan rumah-rumah
nelayan. Senario yang mengusik jiwa apatah lagi jika anda sudah lama
tidak ke kampung halaman, tambahan orang-orang kampung di sini ramah
belaka. Disamping berbulan madu anda dan pasangan boleh cuba membuat
batik sendiri atau belajar seni menyulam menggunakan daun pandan untuk
dijadikan topi dan bakul. Jika anda berkunjung pada Julai hingga
September anda mungkin berpeluang melihat penyu-penyu hijau datang
bertelur di Pantai Chendor. Cherating terletak kira-kira 30 kilometer
dari utara Kuantan.
Genting Highlands
Terletak megah di atas punck
Gunung Ulu Kali berketinggian 2000 meter tinggi Genting Highlands
menawarkan percutian ala Disneyland. Cubalah roller coaster, masuk ke
rumah hantu atau mainan lain yang terdapat di taman tema beriklim dingin
ini. Untuk suasana lebih romantik anda boleh menunggang kuda di Ladang
Kuda Awana. Untuk ke sini mengambil masa 45 minit perjalanan dari Kuala
Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan