Pertama: Agama.
Ciri pertama yang penting ialah agama. Allah berfirman dengan membuat perbandingan: “Sesungguhnya seorang hamba wanita yang beriman lebih baik daripada wanita kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu.” [al-Baqarah 2:221]
Dalam
perbandingan di atas, Allah menerangkan bahawa seorang wanita yang
berstatus rendah, amat rendah sehingga ke tahap budak hamba, adalah
lebih baik asalkan dia beriman kepada Allah (mukminat). Justeru yang
membezakan ciri baik dan buruk bukanlah kecantikan atau daya tarikan,
tetapi nilai agama seorang wanita.
Perhatikan juga bahawa Allah tidak menyebut wanita Islam (Muslimat)
tetapi menyebut wanita beriman (Mukminat). Ini kerana tahap seorang
Mukminat lebih tinggi dari tahap seorang Muslimat. Maka untuk ciri
pertama ini, ciri isteri pilihan bukanlah sekadar muslimat yang
biasa-biasa tetapi muslimat yang memiliki ilmu agama, beriman dengan
teguh dan menterjemahkan ilmu dan keimanannya kepada amal shalih
sehari-harian.
Berkenaan ciri agama ini, Rasulullah juga pernah bersabda: “Seorang
wanita dinikahi kerana empat sebab: hartanya, keluarganya,
kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah kerana agamanya, jika tidak
kamu akan rugi.” [Shahih al-Bukhari, no: 4700]
Kedua: Cantik.
Jangan terperanjat jika Islam mementingkan ciri kecantikan kepada seorang isteri. Rasulullah pernah bersabda: “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan.”
[Shahih Muslim, no: 131] Kecantikan sebegitu penting sehingga
Rasulullah menganjurkan seorang lelaki untuk melihat wanita pilihannya
sebelum pergi melamar atau meminang. Baginda bersabda:
“Apabila
salah seorang dari kalian melamar wanita, maka selagi dia boleh melihat
apa yang dapat mendorongnya untuk menikahinya, maka lakukanlah ia.” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 2082]
Maksud
kecantikan di sini ialah apa yang tulen, bukan kecantikan palsu umpama
penggunaan alat solek. Bukan juga kecantikan yang menelan kos yang
tinggi seperti pembedahan plastik, dandanan rambut di salon terkenal,
penurunan berat badan di pusat-pusat yang diragui keberkesanannya dan
pakaian fesyen terkini di butik yang berjenama.
Justeru
mana-mana wanita yang ingin diperisterikan, bakal menjadi isteri dan
sudah menjadi isteri, hendaklah menjaga kecantikan mereka dengan gizi
pemakanan yang sihat, senaman dan keyakinan diri. Yakinlah bahawa semua
wanita ciptaan Allah adalah cantik, hanya kecantikan itu akan dikecapi
oleh lelaki yang tentu saja berbeza citarasanya antara satu dengan yang
lain.
Ketiga: Menyenangkan Suami.
Rasulullah pernah ditanya tentang ciri-ciri isteri yang baik. Baginda menjawab: “Wanita
yang membahagiakan (suaminya) jika dipandang, mentaatinya jika
diperintahkan dan tidak menyelisihi berkenaan dirinya dan hartanya
dengan apa yang tidak disukai (oleh suami).” [Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 3231]
Ciri
seorang isteri pilihan ialah dia memberi ketenangan, kegembiraan dan
kebahagiaan apabila saja suami melihatnya. Jika suami menyuruh dia
melakukan sesuatu, dia akan melakukannya sekadar yang mampu dengan
syarat suruhan itu selari dengan syari’at Islam. Jika bertentangan, maka
isteri tidak perlu taat. Namun berbincanglah dengan suami secara hikmah
kerana mungkin suami tidak tahu mengenainya.
Selain
itu isteri tidak akan menyelisihi, apatah lagi bertengkar atau memarahi,
jika apa yang disukainya dibenci pula oleh suami. Ertinya, isteri
berusaha untuk menyelaraskan kesukaannya dengan citarasa suami. Inilah
yang dinamakan sehati, sejiwa.
Di sini
mungkin ada yang bertanya, bahawa kenapa isteri mesti bersikap sehingga
ke tahap demikian kepada suaminya? Apakah isteri tidak boleh bermuka
muram, enggan taat dan memiliki pilihan tersendiri? Terhadap persoalan
seperti ini atau yang seumpama, para isteri hendaklah sedar bahawa semua
kebaikan yang dilakukan kepada suaminya, ia adalah ibadah kepada Allah.
Dalam erti kata lain, suami merupakan sarana atau jalan untuk isteri
beribadah kepada Allah. Perlu diingatkan bahawa ibadah bukan sahaja
solat, puasa dan zikir, tetapi berbuat baik kepada suami sebagaimana
dalam hadis di atas.
Keempat: Pandai Mendidik Anak-Anak.
Tanggungjawab
suami ialah di luar rumah mencari nafkah untuk isteri dan anak-anak.
Tanggungjawab isteri pula di dalam rumah mendidik anak-anak dan menjaga
rumah. Maka atas dasar pembahagian tugas seperti ini, Rasulullah
bersabda: “Sebaik-baik wanita Quraisy adalah yang paling
lembut dan simpati pada anak pada masa kecilnya dan paling boleh menjaga
harta suaminya.” [Shahih al-Bukhari, no: 4692]
Mungkin
ada pula yang bertanya, bahawa isteri juga bekerja di luar rumah. Maka
kenapa mereka dipertanggungjawabkan untuk urusan anak-anak dan penjagaan
rumah? Jawapannya, pekerjaan di luar rumah tidak diwajibkan oleh Islam
ke atas isteri. Jika isteri bekerja di luar rumah, maka ia adalah
tanggungjawab tambahan yang dipilih oleh isteri itu sendiri. Jika isteri
beralasan perlu mencari sumber kewangan tambahan untuk seisi keluarga,
maka perlu ditanya kembali: “Apakah manusia pernah berkecukupan dalam
urusan kewangan?”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan