Selepas Allah s.w.t menceritakan balasan yang dikenakan kepada Ashab
al-Sabt yang ditukar rupa mereka menjadi kera-kera yang hina sebagai
satu pengajaran kepada orang yang bertakwa, di samping sebagai hukuman
pencegah bagi orang di masa itu, Allah meneruskan lagi perbincangan
mengenai kisah kedegilan serta keangkuhan kaum Bani Israel terhadap
Nabi-Nya, Musa a.s, dengan memperolok-olokkan suruhan dan arahan-Nya.
Sayyid Qutub berkata dalam Fi Zilal al-Quran, berkata: Pada akhir
pelajaran ini diceritakan kisah lembu dengan terperinci dalam bentuk
cerita, bukannya semata-mata sentuhan sepintas lalu sahaja seperti kisah
yang lain. Kisah lembu ini tidak pernah disebut dalam Surah-surah
Makkiyyah sebelum ini dan tidak pernah pula disebut di tempat-tempat
yang lain. Ia menggambarkan sifat keras hati, degil, enggan menurut
perintah dan berpura-pura membuat alasan-alasan yang menjadi sifat Bani
Israel.
AYAT 67 & 68
Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya
Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina”. Mereka
berkata: “Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?” Nabi Musa
menjawab: “Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang
dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut).”
Mereka berkata pula: “Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya
diterangkanNya kepada kami bagaimana (sifat-sifat) lembu itu?” Nabi Musa
menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah
seekor lembu yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan
(umurnya) di antara itu; maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada
kamu melakukannya.”
Firman Allah Taala Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada
kaumnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor
lembu betina.”
Al-Mawardi berkata: Lembu betina dinamakan baqarah sedangkan lembu
jantan dinamakan thaur. Dinamakan lembu betina dengan baqarah kerana
diambil daripada perkataan ‘memecahkan’ seperti katanya: Merobek
perutnya apabila dipecahkan. Ini kerana ia digunakan untuk membajak
tanah ketika berladang.
Surah ini dinamakan dengan nama Surah al-Baqarah bersempena dengan kisah ini.
Terdapat dua riwayat berhubung dengan sebab nuzul ayat ini.
Ibn Sirin meriwayatkan daripada Ubaidah katanya: Adalah di kalangan Bani
Israel seorang lelaki yang mandul, tanpa anak sedangkan beliau
mempunyai harta yang banyak, yang mewarisinya ialah anak saudaranya.
Lantas beliau membunuh dan membawanya pada waktu malam ke perkampungan
lain, kemudian diletakkan di depan pintu rumah seorang lelaki. Apabila
menjelangnya pagi, dia mendakwa orang tersebut membunuhnya sehingga
mereka semua mengangkat senjata dan hampir-hampirlah berlaku peperangan.
Kemudian mereka datang kepada Musa untuk menyelesaikan masalah ini,
lantas Musa memerintahkan mereka menyembelih seekor lembu betina.
Pendapat ini hampir sama dengan kenyataan yang disebut oleh al-Mawardi dalam tafsirnya al-Nukat wa al-`Uyun.
Al-Suddi meriwayatkan daripada guru-gurunya bahawa seorang lelaki di
kalangan Bani Israel mempunyai anak perempuan dan anak saudara lelaki
yang fakir. Anak saudara tersebut ingin meminang anak perempuannya
tetapi tidak diizinkan oleh bapa saudaranya sehingga menyebabkan dia
marah seraya berkata: “Demi Allah, aku akan bunuh bapa saudaraku dan
ambil hartanya, begitu juga mengahwini anak perempuannya dan makan
diahnya”. Kemudian beliau datang kepada bapa saudaranya seraya berkata:
“Telah datang rombongan peniaga pada sebahagian Asbat Bani Israel.
Marilah bersamaku dan ambillah untukku daripada perniagaaan mereka.
Mudah-mudahan aku dapat padanya sedikit habuan”. Kemudian keduanya
keluar. Apabila hampir sampai, lantas dibunuhnya dan pulang. Kemudian
pada waktu pagi beliau datang seolah-olah mencari bapa saudaranya dan
tidak diketahui di mana dia. Ketika itu kumpulan peniaga sedang
berhimpun lantas beliau berkata kepada mereka: “Kamu semua telah
membunuh bapa saudaraku yang menyebabkan beliau menangis dan bertempik
menyeru bapa saudaranya”. Abu al-`Aliah berkata: “Yang datang bertanya
kepada Musa supaya Allah menjelaskan keterangan dan pernyataan: Pembunuh
dan kata yang lainnya: Bahkan kaum yang berkumpul bertanya kepada Musa:
Tatkala dia meminta mereka untuk menyembelih lembu mereka berkata:
“Adakah kamu mempermainkan kami?”
Ingatlah ketika Musa, nabimu berkata kepadamu: Sesungguhnya Allah
menyuruhmu menyembelih seekor lembu betina tetapi malangnya Mereka
berkata: “Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?”
Al-Imam al-Baghawi dalam tafsir Ma`alim al-Tanzil, berkata: Kamu
mengejek kami sedangkan kami bertanyamu berkaitan pembunuhan dan kamu
menyuruh kami menyembelih seekor lembu betina. Dan sesungguhnya
kenyataan mereka seperti itu bagi menunjukkan betapa jauhnya dua perkara
pada zahir sedangkan mereka tidak mengetahui hikmah di sebaliknya.
Justeru, ia merupakan satu jawapan daripadamu yang penuh dengan ejekan
dan olok-olok terhadap nabimu sedangkan Nabi Musa menjawab: “Aku
berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang daripada golongan
yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut).” Aku hanya
mengadu dan berharap kepada Allah jika sekiranya aku termasuk di
kalangan orang yang mengejek dan jahil. Ini kerana keluar daripada
memberi jawapan kepada penyoal yang ingin mendapat petunjuk kepada
ejekan merupakan kejahilan. Justeru, nabi Musa berlindung daripadanya
kerana ia merupakan sifat yang menafikan sifat kenabian. Seterusnya,
diperintahkan menyembelih lembu betina bukan yang lain kerana ia
merupakan daripada jenis yang disembah mereka daripada anak lembu untuk
memperlekehkan dan memperkecilkan apa yang mereka sangka besar. Di
samping itu, untuk memberitahu dengan menjawab terhadap mereka hilanglah
apa yang ada pada perasaan mereka daripada beribadat.
Mereka berkata pula: “Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya
diterangkanNya kepada kami bagaimana (sifat-sifat) lembu itu?” Iaitu
apakah ia jenis lembu betina dan bagaimana sifatnya? Sayyid Qutb
berkata: Bentuk pertanyaan seperti ini membayangkan mereka masih
ragu-ragu bahawa Nabi Musa hendak mempermain-mainkan mereka dengan
perintah Allah yang disampaikan kepada mereka, kerana pertama mereka
berkata: “Pohonlah untuk kami supaya Tuhanmu” seolah-olah Allah itu
Tuhan Musa sahaja, bukan Tuhan mereka dan persoalan ini tidak ada
kena-mengena dengan mereka malah hanya membabitkan Musa dan Tuhannya
sahaja.
Yang kedua, mereka meminta Musa memohon kepada Tuhannya supaya
menerangkah apakah ia sebenarnya? Pertanyaan mereka tentang hakikat
lembu- walaupun yang dimaksudkan mereka ialah sifat lembu merupakan
suatu pertanyaan yang bertujuan mengingkar dan mengejek… Apakah ia
sebenarnya? Itulah lembu. Allah menerangkan begitu sejak awal-awal lagi
tanpa menentukan sifatnya. Itulah lembu. Cukuplah begitu sahaja.
Di sini juga Musa sekali lagi mengembalikan mereka ke jalan yang benar
dengan memberi jawapan yang berlainan daripada cara pertanyaan mereka.
Beliau tidak menghadapi mereka dengan mempertikaikan bentuk pertanyaan
mereka untuk mengelak dan terlibat dalam perdebatan teknikal dengan
mereka, malah beliau memberi jawapan yang layak diberikan oleh seorang
guru atau pendidik kepada orang-orang jahil dan menyeleweng. Iaitu
beliau menjawab dengan menjelaskan sifat-sifat lembu itu.
Persoalan mereka menunjukkan betapa kurangnya darjat iman mereka kerana
apabila disandarkan kepada tuhan, disebut “tuhan kamu”, tidak disebut
“tuhan kami” seolah-olah tuhan Musa sahaja. Cara dan uslub seperti ini
berulang kali pada kalam Bani Israel dalam banyak ayat.
Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina)
itu ialah seekor lembu yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda,
pertengahan (umurnya) di antara itu; iaitu tidak tua bangka dan tidak
terlalu muda. Tetapi sebaliknya pertengahan antara tua dan muda.
Dalam ayat-ayat ini Allah hendak menerangkan kepada kita bermula dengan
arahan sembelihan lembu dan diikuti dengan sebab serta `illah
sebagaimana dalam kisah ini. Sebagai seorang Islam yang beriman dengan
Allah, apabila kita beribadat kepada-Nya sebagai ketaatan sama ada
diketahui `illah(sebab) atau tidak, yang pentingnya perlaksanaan ibadat
tersebut kerana arahan Allah.
Kisah ini bermula dengan lembu betina Bani Israel, tidak didatangkan
sebab atau `illah pada permulaan. Justeru, kisah ini mempunyai hikmah
sama ada ia tersembunyi daripada kita, maka ia tetap ada. Demikianlah
kata Syeikh Sya’rawi dalam tafsirnya.
Lantas Nabi Musa menyuruh mereka dengan katanya: Maka kerjakanlah apa
yang diperintahkan kepada kamu melakukannya.” Laksanakanlah segala
arahan Tuhanmu, jangan kamu banyak meminta sifat dan melampaui, nescaya
Allah membebankan kamu.
Al-Imam al-Maraghi dalam tafsirnya berkata: Dalam kisah ini penerangan
berkaitan jenis yang lain daripada sifat buruk mereka supaya dapat kita
mengambil iktibar dan peringatan. Antaranya:
Terlalu banyak bersoal yang remeh-temeh membawa kepada hukum yang begitu tegas.
Arahan sembelihan lembu betina sebagai tempelak kepada mereka yang mereka mempertuhankannya.
Sikap dan sifat mereka yang suka mempersendakan segala arahan nabi.
Menghidupkan yang mati dibunuh merupakan sebesar-besar tanda dan dalil
betapa kudratnya Tuhan dalam merekacipta segala makhluk daripada tiada.
Sayyid Qutub berkata: Nasihat ini memang sudah cukup untuk orang yang
mahu cukup. Ia sudah cukup untuk mereka setelah dua kali mereka
dikembalikan ke jalan yang benar oleh nabi mereka, dan setelah disindir
supaya menunjukkan adab sopan yang selayaknya ketika mengemukakan
pertanyaan dan menerima perintah… sudah cukup bagi mereka bertindak
mencari mana-mana lembu yang tidak tua dan tidak muda, iaitu seekor
lembu yang pertengahan untuk melepaskan tanggungjawab mereka, cukuplah
bagi mereka menyembelihkan lembu itu kerana menjunjung perintah Allah
dan membebaskan diri mereka daripada kesulitan memayah-mayah dan
menyempit-nyempitkan persoalan. Tetapi Israel tetap Israel.
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan