Waktu-waktu Yang Diharamkan Solat | Solat adalah ibadah yang dilakukan
dengan perkataan dan perbuatan khusus yang dimulakan dengan takbir dan
diakhiri dengan salam. Solat terbahagi kepada 2 bahagian iaitu Solat
wajib/ fardhu dan juga solat sunat. Solat wajib iaitu solat lima waktu
manakala solat sunat pula seperti solat dua hari raya, solat sunat
rawatib dan beberapa solat sunat yang lain.
Solat wajib punyai waktu-waktunya yang tersendiri begitu juga dengan
beberapa solat sunat. Umumnya sesetengah solat sunat boleh sahaja
dilaksanakan pada bila-bila masa sahaja melainkan pada waktu yang
diharamkan kita bersolat. Waktu-waktu yang diharamkan kita bersolat
adalah sebagaimana yang berikut:
Haram hukumnya menunaikan solat pada tiga waktu selain yang telah
dikecualikan oleh sebahagian ulama’ mazhab. Waktu tersebut adalah :
1. Ketika matahari terbit sehingga sedikit naik, baik solat fardhu, solat sunat, samada secara tunai atau qadha.
Perkara tersebut berdasarkan riwayat: Daripada Uqbah bin Amir r.a dia beliau berkata :
” Tiga waktu yang kami dilarang oleh Rasulullah SAW menunaikan solat dan
mengebumikan orang mati; Ketika tepat matahari terbit sehingga
naik,ketika betul-betul tengah hari (matahari naik tegak atas kepala)
dan ketika matahari condong (hampir terbenam) sehingga benar-benar
terbenam.” ( Riwayat Ahmad,Muslim,Nasai,Ibnu Majah,Tirmizi,Abu Daud )
Ulama’ Syafi’eyah dan Malikiyyah dalam masalah ini mengecualikan Solat
Subuh dan Asar. Jika seseorang menunaikan Solat Subuh dan tinggal satu
rakaat kemudian masuk waktu tepat matahari terbit , maka dia boleh
meneruskan solat itu sehingga selesai. Begitu juga dengan Solat Asar.
Jika seseorang menunaikan Solat Asar dan tinggal satu rakaat sahaja lagi
kemudian tiba waktu betul-betul terbenamnya matahari maka dia boleh
meneruskan solatnya sehingga selesai.
Menurut Ulama’ Hanafiyyah pula apabila seseorang solat dan
ditengah-tengah solat matahari terbit, maka batal solatnya tersebut.
Jika yang dilakukan adalah Solat Asar dan tinggal satu rakaat sahaja
kemudian tiba waktu matahari terbenam, maka solatnya boleh diteruskan
dan sah sebagaimana menurut kebanyakan ulama’.
Perkara tersebut merujuk kepada hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
” Siapa yang mendapat satu rakaat dari salah satu solat, maka dia telah mendapat solat tersebut.”
Di dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari disebutkan maksudnya:
” Apabila salah seorang kamu semua mendapat satu sujud dari solat Asar
sebelum terbenam matahari,maka sempurnalah solatmu. Dan jika mendapat
satu sujud pada Solat Subuh sebelum terbit matahari,maka sempurnalah
solatnya.” Maksud perkataan sujud dalam hadis tersebut adalah rakaat.
2. Ketika istiwa’ iaitu matahari berada tepat di atas kepala pada tengah hari sehingga tergelincir sedikit.
Perkara ini berdasarkan kepada hadis Uqbah di atas. Namun demikian Ulama
Malikiyyah dan Syafieyyah mengecualikan pada hari Jumaat dan ketika
solat di Masjidil Haram, Mekah. Perkara ini disepakati juga oleh Ulama
Hambali dalam bab dibolehkan menunaikan solat Tahayyatul Masjid dalam
waktu tersebut pada hari Jumaat.
Demikian juga pendapat Imam Abu Yusof yang beraliran Ulama Hanafiyyah.
Dalilnya merujuk kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah r.a
berkata:” Rasulullah SAW membenci solat pada tengah hari selain hari
Jumaat dan bersabda:” Sesungguhnya api neraka jahanam menyala kecuali
pada hari Jumaat.” ( Riwayat Abu Daud ).
Adapun dalil yang mengecualikan solat yang dilakukan di Masjidil Haram
di Kota Mekah adalah riwayat daripada Jubair bin Muth’im bahawa
Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya:” Wahai Bani Abdi Manaf
janganlah kamu semua menghalang seseorang yang akan tawaf di rumah ini (
Masjidil Haram ) dan jangan pula menghalang orang yang hendak solat
pada waktu bila pun di malam atau siang hari. ” ( Riwayat Ashabus Sunan
dan disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah dan Tirmizi )
3. Ketika matahari kekuning-kuningan hendak terbenam sehingga
benar-benar terbenam iaitu kira-kira seseorang mampu melihat ke arah
terbenamnya matahari. Dikecualikan bagi solat asar yang telah mendapat
satu rakaat dan solat di Masjidil Haram sebagaimana merujuk dalil
hadis-hadis di atas. Wallahua’lam..
Rujukan: Fiqh Solat Empat Mazhab oleh Syekh Abdul Qadir Ar-Rahbawi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan